jatuh love

pemilik blog:

blog bakal guru Bahasa Melayu a.k.a. Cikgu Che

sahabat alam maya

Saturday, January 22, 2011

7 Januari 2011

Situasi: 7 Januari 2011 kali ini jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari bagi umat Islam. Hari Jumaat aku memang tidak ada kuliah, selalunya bila tidak ada kelas, aku akan turun ke kafe awal untuk beli makanan, supaya tak berebut dengan pelajar lain yang balik dari kelas. kali ini situasi yang aku perhatikan agak berbeza daripada catatanku sebelum ini. Jika sebelum ini aku mendengar luahan bahasa selembut sutera, kali ini tajamnya bahasa menggores jiwa. Begini ceritanya:
Pelajar 1: penatnya aku... dah laa nak naik bas kena berebut, nak beli makanan pun nak kena berebut jugak! ish.. tension je laa..
Pelajar 2: tu laa pasal, aku pun tension.. kalau tiap-tiap hari macam ni, masak kita!

Mereka berdua berbual-bual meluahkan perasaan masing-masing tanpa menghiraukan aku yang sedang memasang telinga dan memerhatikan gelagat mereka sedari tadi. Orang lain juga kelihatan tidak senang dengan gelagat mereka, macam mereka sahaja yang kepenatan. Bahasa yang diluahkan yang membuatkan jiwaku terguris apabila salah seorang dari mereka berdialog dengan mak cik pemilik kafe tersebut.

Mak Cik: semua sekali rm 3. 50 dik..
Pelajar: Mak oi, mahalnya.. melampau laa mak cik ni!
Mak Cik: err.. adik ada duit syiling tak? mak cik takde duit kecik ni..
Pelajar: Apa ni mak cik.. nak meniaga, buat cara nak meniaga.. dah laa mahal, baki pun susah nak bagi.. takde2, saya pun xde duit syiling! Mak cik tukar laa dengan orang lain, saya nak duit saya...

Aku terdiam melihat situasi itu, simpati melihat mak cik yang agak terkejut apabila ditengking sedemikian. Mungkin ini kali pertama dia ditengking pelajar yang semuanya bakal guru di sini.

Penerangan: Bahasa sememangnya alat untuk berkomunikasi, dan juga alat untuk meluahkan perasaan kita. Namun, kita seharusnya tahu kepada siapa dan bila kita patut meluahkan perasaan dan emosi kita. Pelajar tadi seharusnya pandai mengawal emosi dan lebih menghormati orang yang lebih tua, bukan dengan menghamburkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Wednesday, January 19, 2011

kain sutera selembut bahasa..

hari khamis bersamaan 6 Januari 2011, aku bersama sahabat-sahabat yang mengambil kursus sosiolinguistik diminta oleh pensyarah kami untuk lebih peka dengan persekitaran kami. keluar sahaja dari kelas, aku menjadi seorang pemerhati, memerhati gelagat pelajar-pelajar UPSI menunggu bas dari Proton City untuk menuju ke destinasi masing-masing. Ada yang akan ke kampus untuk ke kuliah seterusnya dan ada juga yang akan ke kolej kediaman masing-masing. aku juga tidak terkecuali, menunggu bas ke kampus untuk kuliah seterusnya. Jam pada waktu itu sudah menunjukkan pukul 10.15 pagi, sedangkan kuliah seterusnya bermula pada jam 10.00 pagi. Peluh dingin mula membasahi baju kurung berwarna merah jambu di tubuhku, penat menunggu dan perasaan gementar menyelubungi aku, minggu pertama aku sudah lambat ke kuliah, bukan contoh yang baik bagi seorang bakal guru, namun apa dayaku. Bukan aku seorang sahaja yang mengalami masalah itu, semua pelajar di sekelilingku nampak gelisah, seperti cacing kepanasan. Berdiri salah, duduk pun tidak kena. Sedang aku menunggu, sebuah bas berhenti di hadapan kami, seperti biasa, kami akan menunggu di hadapan pintu bas dan memberi laluan kepada pelajar lain untuk turun dari bas terlebih dahulu. suasana riuh dan tolak menolak untuk menaiki bas sudah menjadi agenda utama, namun hari itu aku agak pelik dengan suasana yang kelihatan tenang, sedangkan sebentar tadi semuanya sudah tidak sabar lagi. Rupa-rupanya di hadapan kami ada seorang pelajar India yang kakinya berbalut, patah barangkali, aku juga tidak pasti. kepekaan aku dengan keadaan sekeliling menyebabkan aku berasa terharu dengan tindakan seorang pelajar perempuan Melayu, yang sedari tadi dia yang kelihatan paling tidak sabar memberi laluan dan turut memimpin pelajar perempuan berketurunan India menuruni tangga bas dengan penuh hati-hati. Tidak ada lagi bunyi bising dan keluh kesah mahupun kata-kata kesat keluar dari mulut pelajar ketika itu. Hatiku terusik saat mendengar ucapan pelajar India itu pada orang yang menolongnya, "Terima kasih". Hanya satu patah perkataan dan tiba-tiba slogan 1 Malaysia bermain di benakku. Bahasa sememangnya mampu mengeratkan kita, seumpama kain sutera yang lembut dan sejuk apabila dipakai, demikian juga bahasa yang lembut mampu menenangkan jiwa.