jatuh love

pemilik blog:

blog bakal guru Bahasa Melayu a.k.a. Cikgu Che

sahabat alam maya

Wednesday, March 16, 2011

“NAMA SAJA ORANG MELAYU”

Situasi 16: Kali ini aku terpanggil untuk menonton filem lama artis lagenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Terdapat satu babak dalam cerita Seniman Bujang Lapok yang menegaskan mengenai bahasa yang menunjukkan siapa kita (bahasa menunjukkan bangsa). Perhatikan dialog ini:

"Nama saja orang Melayu, sikit adab pun tak tau. Panggil orang hoi, hoi, hoi. Saya ni apa? Kayu kah? batu kah?" (dialog pengawal keselamatan berbangsa Benggali)
"Alamak, Benggali tu bahasakan kita lah,". (Sudin)
"Memang betul apa yang dia cakap, engkau tu mana ada bahasa, panggil orang hoi, hoi, hoi, bahasa menunjukkan bangsa tau ..." (Ramlee)
[Seniman Bujang Lapok]

Berdasarkan dialog di atas, kita dapat melihat betapa pentingnya bagi kita terutamanya orang Melayu untuk menjaga adab sopan dan etika ketika berbahasa. Dalam dialog ini, Sudin dikatakan tidak mempunyai bahasa kerana langsung tidak menghormati pengawal keselamatan di panggung tersebut kerana memanggilnya dengan panggilan ‘hoi’ sahaja. Bahasa yang kita gunakan menunjukkan bangsa kita, seperti yang dijelaskan dalam dialog oleh Tan Sri P. Ramlee.

bahasa melambangkan bangsa (seniman bujang lapok)

BERAMBAK!


Situasi 15: Ore sekapong tupa seko, berambak hari-hari,

nyo pakat likong, nyo pakat pekong, tupa tok leh lari

Perkataan berambak di atas menarik perhatian aku. Lirik lagu di atas dipetik daripada lagu Anak Tupai oleh Halim Yazid. Lagu ini telah diperdengarkan oleh pensyarah kami di dalam kelas Sosiolinguistik, dalam kuliah mengenai dialek. Berambak merujuk kepada mengejar atau kejar dan istilah ini digunakan oleh penutur natif di Kelantan dan juga Hulu Terengganu.


lagu anak tupai oleh Halim Yazid

PEMBENTANGAN


Situasi 14: Situasi kali ini berlaku di dalam kelas Sosiolonguistik sewaktu sebuah kumpulan sedang membuat pembentangan. Dalam pembentangan ini, terdapat beberapa kesalahan ejaan yang mungkin tidak disengajakan oleh kumpulan tersebut. Seperti dalam gambar di atas, dapat dilihat kesalahannya ialah penggunaan ejaan tidak ditulis sebagai tak. Sepatutnya, dalam pembentangan ilmiah khususnya, kesalahan penggunaan bahasa atau ejaan tidak sepatutnya berlaku.

KE LAGI…


Situasi 13: Terdapat beberapa lagi kesalahan penggunaan kata sendi nama ke. Kali ini boleh dilihat dalam buku Tatabahasa Dewan m/s 267. Kata sendi nama ke dikatakan tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang. Contoh ayat yang menunjukkan kesalahan ini ialah:

Berita itu hanya sampai ke pihak polis semalam.

Sepatutnya: Berita itu hanya sampai kepada pihak polis semalam.

Tolong berikan buku ini ke Mizam.

Sepatutnya: Tolong berikan buku ini kepada Mizam.

Contoh-contoh kesalahan penggunaan kata sendi nama ke ini boleh dirujuk melalui Tatabahasa Dewan edisi ketiga (m/s 267).

BETUL KE???


Situasi 12: Gambar di atas menunjukkan kesalahan penggunaan kata sendi nama ‘ke’. Menurut Tatabahasa Dewan, kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat arah yang dituju. Sepatutnya, pada papan tanda ini, penggunaan kata sendi nama di adalah lebih relevan, contohnya:

Pelawat dikehendaki melapor diri di pos pengawal

Kata sendi nama di lebih sesuai digunakan kerana kata sendi nama ini digunakan khusus di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat.

FASHION~~FESYEN…

Situasi 11: Kali ini aku sekali lagi mencari kaitan bahasa dan masyarakat dengan melayari internet. Nasibku baik, kutemu sebuah lagi video yang dirakam oleh orang yang sama, mengenai kesalahan penggunaan bahasa Melayu di papan iklan sebuah kedai. Dalam video ini, pelajar tersebut menunjukkan kesalahan bahasa yang terdapat pada papan iklan yang bertulis:

TUKANG JAHIT WAI MAN FASHION

Menurut pelajar ini, kesalahan yang terdapat dalam papan iklan tersebut ialah mencampurkan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, sepatutnya fashion itu ditukarkan kepada bahasa Melayu yang betul iaitu fesyen.

video yang menunjukkan penggunaan bahasa rojak

TULAH PENTINGNYA ENGLISH EDUCATION…


Situasi 10: “Cecite, cecite..” Ayat ini sekarang begitu popular dalam kalangan masyarakat kita. Semua ini penangan cerita komedi seram arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah, aku sendiri turut menggunakan perkataan tersebut, malahan sebelum dipopularkan oleh Mamat Khalid pun, warga Pantai Timur rasanya telah lama menggunakan perkataan tersebut. ‘Ce’ itu membawa maksud cuba dalam dialek Terengganu. Namun, yang ingin diceritakan di blog ini bukan situasi ‘cecite’, tetapi kehadiran bahasa rojak dalam komunikasi. Sudah tentu nampak jelasnya bahasa rojak ini dalam dialog yang dipopularkan oleh Usop (salah seorang watak utama dalam filem ini) iaitu:

“Itulah pentingnya English education..”

Dialog yang selalu disebutnya ini memang kelakar, dan nampak gahnya di situ apabila dia boleh menyebut dengan betul beberapa perkataa Inggeris iaitu‘wheel chair’ dan ‘key chain’. Perkara penggunaan bahasa rojak dalam dialog sesebuah cerita merupakan perkara biasa memandangkan fenomena pencemaran bahasa ini sudah lama menular dalam masyarakat kita, malahan dalam bahasa tulisan sendiri turut terdapat perkara seperti ini.

usop, antara watak utama (di atas wheel chairnya..)