jatuh love

pemilik blog:

blog bakal guru Bahasa Melayu a.k.a. Cikgu Che

sahabat alam maya

Monday, June 4, 2012

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, oleh Anwar Ridhwan
 
Wah, dah lama sangat tak tulis entri baru di blog Sutera ni. Esok kertas peperiksaan akhir yang pertama, semoga kami semua berjaya. Aamiin. Tapi, bukan tentang diri sendiri yang hendak dikongsikan, baru sahaja mendapat idea dari seorang rakan FB yang aktif berblog (orangnya glamor, jadi tak boleh sebut nama di sini, katanya takut timbul pelbagai spekulasi dan kontroversi! kontroversi la sangat!!..haha). Dia kata, kalau tak tahu nak tulis apa kat blog, kongsikan lah ilmu-ilmu yang belajar sepanjang di universiti. Betul juga kan? jadi hari ni, saya nak kongsi tugasan masa Sem 1 dulu, mana tahu kalau-kalau ada pelajar yang sedang mencari maklumat tentang tajuk tugasan saya ini, bolehlah dijadikan rujukan. Saya pun ambil dari pelbagai sumber juga, internet dan buku-buku. Baiklah, tugasan ini diberi semasa saya semester 1, di UPSI, oleh En. Ariff Mohamad dalam kursus Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Unsur-unsur Budaya Melayu dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.

Budaya pertama ialah budaya berpakaian. Dalam novel ini, dapat diperhatikan bahawa terdapat pemakaian pakaian orang Melayu seperti baju Melayu dan kain sarung. Seperti yang telah diketahui, pemakaian baju Melayu dan kain sarung ini telah lama menjadi budaya orang Melayu. Contoh:
Rambut lelaki tua itu telah putih, panjang menutupi kedua belah telinganya. Berbaju Melayu warna putih, berkain warna hitam – putih petak besar – besar, lelaki tua itu berjalan bertongkat.   m/s 1.
Baju Melayu lelaki itu yang berwarna putih bertukar menjadi warna merah, basah. Lelaki itu menangis bersungguh-sungguh, kini dengan sedu sedan yang tidak boleh ditahan-tahan lagi.  m/s 9.
“ Pada fikiran Pak Hassan, betulkah Jepun hendak menyerang?” tanya seorang. Soalan yang mendadak itu datangnya dari seorang pemuda yang bertubuh kurus berbaju Melayu warna hitam. m/s 16.
Seterusnya ialah budaya beragama. Dalam novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman ini juga, dapat diperhatikan bahawa budaya beragama Islam begitu diterapkan bagi menggambarkan budaya orang Melayu, antaranya solat dan mengaji Quran. Terdapat beberapa contoh yang digarap oleh Anwar Ridwan dalam novel ini, antaranya:
Bulan Syawal baru memasuki minggu yang kedua. Seminggu yang lalu, sebagaimana kelaziman penduduk desa itu tiap-tiap tahun, kubur-kubur dibersihkan. m/s 2.
Lelaki tua itu membaca surah Al-Fatihah dengan perlahan sebelum memanjatkan sepotong doa kepada Allah, memohon agar roh isterinya akan ditempatkan Allah bersama roh hamba-hambaNya yang dikasihi. m/s 3.
Malam Syawal telah menyebabkan surau di utara desa itu menjadi sepi sesudah waktu sembahyang Isya, sama seperti malam bulan-bulan yang lain kecuali Ramadhan. Dan bukanlah menjadi kebiasaan pemuda-pemuda desa itu tidur di surau pada waktu malam. m/s 11.
Ke arah selatan sedikit dari surau ini terdapat rumah Imam Mahali. Rumah ini yang biasanya terang benderang kerana terdapat perawan-perawan mengaji Quran atau kanak-kanak belajar membaca Muqaddam juga mulai sepi. Mereka semua mulai pulang ke rumah masing-masing. m/s 12.
Tali kehidupan itu dipegang Allah dan Allah mengetahui segalanya. Allah Maha Perancang. m/s 23.
Dari dalan bilik didengarnya Senah terjaga dari tidur sambil mengucapkan “Allahu Akbar,” perlahan dan tenang. m/s 31.
Unsur budaya yang ketiga ialah budaya bergotong-royong. Bergotong-royong merupakan aktiviti masyarakat Melayu dalam melakukan sesuatu bersama-sama contohnya kenduri. Budaya ini juga dapat diperhatikan dalam novel ini, apabila penduduk kampung selalu bergotong-royong untuk membantu Pak Hassan ataupun dalam majlis tertentu. Antara contoh unsur budaya bergotong-royong ialah:
Dalam masa yang sama, keramah-tamahan lelaki itu suami isteri segera menambat hati penduduk desa. Dan apabila mereka tahu Imam Mahali telah memberikan sebahagian dari tanahnya untuk lelaki itu, mereka turut ingin menyumbangkan bakti dengan bergotong-royong membuatkan sepetak sawah untuk lelaki tersebut sekeluarga. m/s 21.
Petak sawah untuk lelaki itu – yang dibuat secara gotong royong oleh penduduk desa – belum cukup dalam sedangkan hujan Monsun Timur Laut mulai turun dengan lebat, mengguyur dari langit. m/s 22.
Unsur budaya seterusnya yang terdapat dalam novel ini ialah menggunakan perubatan tradisional seperti bomoh dan bidan. Bomoh merupakan individu yang merawat penyakit seperti dirasuk, demam panas dan sebagainya, manakala bidan pula ialah orang yang menguruskan seorang perempuan yang bersalin. Antara contoh yang terdapat dalam novel ini ialah:
Mujurlah bidan Mariam ada di rumah. Setelah bidan itu memohon kebenaran dari suaminya, Haji Ashaari, yang pendiam itu, dia pun pergi ke rumah Selamah. Suami Selamah menjinjing bakul bidan Mariam. m/s 5.
Suami Selamah sentiasa duduk di luar bilik. Bidan Mariam menunggu Selamah di dalam bilik. Bila Selamah sudah berhenti mengerang tanda belum masanya melahirkan anak, bidan Mariam keluar bilik, duduk atau baring tidak jauh dari suami Selamah. m/s 6.
Pada suatu Subuh pertengahan November, sakit isterinya bertambah kuat. Lelaki itu telah merawat isterinya dengan segala kebolehan yang ada pada dirinya. Apabila usahanya tidak mendatangkan sebarang kesan, bomoh Mahmud telah dipanggil. m/s 8.
Bomoh Mahmud terus membakar kemenyan. Bomoh Mahmud terus mengunyah serta menyemburkan sirih. Bomoh Mahmud juga tidak putus-putus menjampi air yang akan disudukan ke mulut Selamah. m/s 8.
Pak Hassan sudah mencurahkan segala kebolehannya untuk menyembuhkan Mat Junuh, tetapi tidak berhasil. Akhirnya Bomoh Mahmud telah dipanggil dan bomoh ini mengesahkan bahawa penunggu pokok kekabu itu telah marah kepada Mat Junuh yang telah menghina serta mengotorkan istananya. m/s 51.
Dalam novel ini juga terdapat unsur kepercayaan dan tradisi atau adat orang Melayu. Kepercayaan orang Melayu terhadap alam ghaib seperti penunggu juga dipersembahkan dalam novel ini. Selain itu, terdapat juga adat yang mungkin masih diamalkan hingga hari ini. Contoh petikan:
Di desa ini ada adat bertamu dipanggil muyi iaitu berkunjung ke rumah seseorang yang baru dikurniakan cahaya mata terutamanya dalam masa seminggu sesudah sang bayi dilahirkan. m/s 7.
Pada suatu malam ketika Mat Junuh berumur lima tahun, tiba-tiba dia jatuh sakit. Menurut kawan-kawannya, pada sorenya Mat Junuh telah kencing di banir pokok kekabu itu. Menurut kepercayaan penduduk desa, pastilah Mat Junuh telah kena ‘tegur’ oleh penunggu pokok tersebut. m/s 51.
Seterusnya ialah unsur seni karya yang baik iaitu budaya bercerita. Seperti diketahui, watak utama cerita ini iaitu Pak Hassan merupakan seorang penglipur lara yang tugasnya bercerita dan menghiburkan masyarakat. Selain itu, unsur seni karya yang merujuk kepada seni bina atau seni ukir yang dihasilkan oleh manusia juga terdapat dalam novel ini. Sebagai contoh:
Malam itu, lelaki tua tersebut sedang duduk bersila menceritakan kisah “Si Gembang” atau “Teluk Bidung Kota Lama”. m/s 12.
Lantai ruang itu dialas dengan beberapa helai tikar mengkuang yang bercorak halus dan berwarna-warni hasil dari kerja tangan yang mahir. m/s 13.
Lelaki itu memohon kepada Imam Mahali untuk tumpang bermalam dan di samping itu – jika penduduk desa sudi – dia akan meriwayatkan kisah “Raja Dera” sebagai pengisi malam. m/s 20.
Berita kedatangan tukang cerita itu telah tersebar dengan cepat, dan hasilnya pada malam itu surau penuh padat dengan penduduk desa, lelaki dan perempuan. m/s 21.
Pada waktu malam pula lelaki itu duduk bercerita dari waktu sesudah sembahyang Isya sampailah waktu dinihari. m/s 22.
Arwah ayah saya – oh moga-moga Allah menempatkan rohnya bersama-sama roh hamba-hambaNya yang beriman – meninggalkan pusaka rebab bertali tiga dan sekeping tanah sawah. m/s 23.
Saya telah memilih rebab bertali tiga. Saya memilih apa yang telah ayah saya juga pilih di mana melaluinya dia memperoleh keseronokan, ketenangan dan kepuasan. m/s 23.
Saya telah mengingat dan menghayati lebih sepuluh buah cerita dan kebanyakannya turut menyentuh soal percintaan. m/s 25.
Selain itu, unsur teknologi juga terdapat dalam novel ini. Unsur teknologi yang dimaksudkan ialah kehadiran radio yang mengalihkan tumpuan penduduk kampung daripada cerita-cerita Pak Hassan kepada radio yang lebih canggih pada masa itu. Contohnya:
“Ayah diam. Ayah gelisah. Senah fikir betullah Jepun hendak datang. Tapi, menurut Salasiah, Paman Bahari hendak beli sebuah radio. Kalau sudah ada radio di rumah Paman Bahari, bolehkah Senah pergi mendengarnya?” m/s 20.
“Senah selalu datang ke rumah Paman Bahari mendengar radio. Tidakkah dia memberitahu Pak Hassan tentang berita itu?” m/s 39.
Sejak Paman Bahari membeli radio, rumahnya sering saja menjadi tumpuan, khususnya kanak-kanak. Pagi-pagi lagi sudah ada empat atau lima kanak-kanak datang untuk mendengar radio, dan hingga siaran akhir masih ada beberapa orang duduk bersila mengelilingi radio itu. m/s 42.
“Aku suka mendengar radio dari mendengar cerita ayah Mat Junuh ini.” Kata Salleh. “Engkau bagaimana Aziz?”
“Aku pun begitu. Menghadap lelaki tua itu lama-lama jemulah!” m/s 45.
“Aku tak suka Mat Junuh mendengar radio.” rungut lelaki tua itu di dalam hati. “Senah tak mengapa kerana dia perempuan. Mat Junuh harus jadi macam aku: Membentuk kehidupan manusia supaya menjadi lebih jernih. Bukan dihanyutkan oleh alunan radio itu... Tapi. Tapi dia begitu!” m/s 48.
Unsur kebiasaan seperti budaya makan menggunakan tangan juga ditunjukkan dalam novel ini. Budaya ini telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu dan menjadi warisan sehingga sekarang. Contoh yang ditunjukkan ialah melalui watak utama, iaitu Pak Hassan:
Dia sudah hampir mencelupkan tapak tangan kanannya ke dalam mangkuk pembasuh tangan sewaktu disedarinya ada seorang lelaki sedang berjalan melewati rumahnya. Pada masa itu sebenarnya dia pun sedang memikirkan bagaimanakah dia boleh kembali dalam masyarakat sesudah menyisihkan diri buat beberapa lama sebaik-baik sahaja Selamah meninggalkannya. m/s 33.
Kesemua unsur budaya Melayu ini diterapkan oleh Anwar Ridhwan dalam novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, antara unsur budaya Melayu yang diterapkan ialah budaya berpakaian, beragama, perubatan tradisional, makan, kebiasaan, hasil karya yang baik, bergotong-royong dan juga teknologi.

moga bermanfaat.. assalamualaikum..=)

No comments:

Post a Comment