jatuh love

pemilik blog:

blog bakal guru Bahasa Melayu a.k.a. Cikgu Che

sahabat alam maya

Wednesday, March 16, 2011

PASAL SELIMUT PUN PENING…


Situasi 40:

Aku: Muna, ambik gebor Kak Che jap…

Muna: Apa benda kak? Tak faham laa…

Aku: Gebor kak tu, atas katil…

Muna: Bantal ke kak?

Aku: Aduhai.. susahnya, ni yang rasa nak balik ganu ni… selimut tu…

Ulasan: Gunakanlah bahasa yang mudah difahami semua orang, supaya komunikasi berjalan lancar dan tidak menimbulkan salah faham atau konflik. Dalam situasi di atas, gebor merupakan dialek Terengganu yang bermaksud selimut.

DIRI SENDIRI PUN TAK BETUL…

Situasi 39: Diri sendiri pun tak betul? Maksud yang ingin disampaikan ialah, jika kita sendiri pun tidak pasti sama ada sesuatu perkara itu betul atau salah, jangan sewenang-wenangnya menghentam orang lain. Kalau kita teringin sangat nak guna bahasa Inggeris, ejalah dengan betul. Bukan bahasa Melayu sahaja dieja tunggang langgang dan ditambah atau diubahsuai sesuka hati, bahasa Inggeris juga begitu. Aduhai bangsaku…

ok ok babe. take care. papehal, dun do anything dat can hurt anyone's feeling k

Ulasan: bukan sahaja kesalahan ejaan bahasa Melayu, malahan bahasa Inggeris yang dirojakkan itu juga tidak betul ejaannya. Contohnya, dun=don’t/do not, dat=that, k=okey. Gunakanlah sesuatu bahasa itu dengan betul. Contoh di atas dipetik daripada seorang pengguna laman sosial Facebook.

LAPTOP KESAYANGAN…


Situasi 38:

Che: Adoi, laptop aku masalah la.. asyik shut down sendiri aje. Masuk virus lah ni..

Mizam: Laptop-laptop. Kita ni bakal guru bahasa Melayu cikgu Che, hentikan lah guna perkataan Inggeris tuh, komputer riba ye… bukan laptop… ish, laptop la, shut down laa.. kata cikgu bahasa Melayu…

Che: Ops,, maaf-maaf. Terima kasih ingatkan… hehe…

Ulasan: Kita perlu cuba untuk bercakap menggunakan bahasa Melayu yang betul supaya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dapat dilaksanakan.

KAMI?

Situasi 37: Perkenalan antara aku dan Nazatul Anis bermula apabila aku duduk di sebelahnya dalam sebuah bas. Aku memulakan perbualan,

Aku: Hai, nama saya Che. Nama awak?

Nazatul Anis: Nama kami Naza…

Kami? Aku bermonolog. Kami tu bukan ke kata ganti nama diri pertama yang merujuk kepada bilangan yang ramai?

Ulasan: Dalam dialek utara, kami bermaksud saya, dan penggunaan kata ganti nama diri kami itu dianggap penggunaan bahasa yang lembut bagi penutur natif di bahagian utara terutama Perlis dan Kedah.

KESIAN MAK CIK…

Situasi 36: Dalam kelas Sosiolinguistik, kami dikehendaki membuat tugasan kumpulan. Salah satu tajuk tugasan kumpulan kami ialah membuat drama berkaitan pengamalan kesantunan bahasa. Salah satu drama yang ditayangkan adalah mengenai orang muda yang tidak menghormati orang tua. Dalam drama ini, dikisahkan bahawa tidak ada seorang pun orang muda yang lalu lalang di sebelah mak cik yang sedang menaiki tangga yang sudi menolong. Masing-masing membawa hal sendiri dan tidak mengendahkan betapa perlunya pertolongan mereka diberikan kepada seorang insan yang sudah berusia. Malahan, ada yang meninggikan suara kepada orang tua itu kerana lambat menaiki tangga.

Ulasan: Drama ini menyedarkan kita bahawa perlunya kita menjaga kesantunan bahasa kita dan juga menghormati orang tua.

HOI! BISING LAH…!!


Tasik Proton City. Ketika mendengar taklimat oleh pensyarah kami, sekumpulan pelajar kelihatan tidak menghormati majlis, bercakap dengan kawan di sebelahnya seolah-olah tiada pensyarah di hadapan mereka, mungkin kerana pensyarah kami tidak begitu mengambil perhatian sama ada pelajarnya member perhatian atau tidak. Ketika asyik berbual itu, tiba-tiba ada seorang pelajar yang mungkin tidak senang dengan tingkah laku kumpulan pelajar tersebut meninggikan suara dengan berkata:

‘Hoi! Bisinglah…!!! Tak tahu diam ke??

Suasana senyap seketika. Pensyarah kami turut terperanjat, mungkin berfikir, siapakah yang bersalah?

Ulasan: Kita hendaklah menghormati majlis, ketika orang sedang memberi penerangan, cubalah untuk menjadi pendengar yang baik dan jika kita ingin menegur seseorang, gunakanlah budi bahasa yang betul, tegur secara berhemah dan lembutkan lidah ketika berbicara, seperti lembutnya kain sutera.

DIA KE?

Situasi 34: Terdapat beberapa lagi kesalahan dalam pembentangan oleh beberapa kumpulan dalam kuliah. Namun, kali ini bukan kesalahan ejaan atau penggunaan tatabahasa, tetapi penggunaan kata ganti nama diri kedua yang tidak sesuai bagi merujuk seseorang. Dalam pembentangan tersebut, seorang pelajar menggunakan kata ganti nama diri dia bagi merujuk seorang pensyarah yang berpangkat Prof.

Ulasan: Penggunaan kata ganti nama diri dia dilihat tidak sesuai digunakan apabila merujuk kepada seseorang yang mempunyai pangkat yang besar. Sepatutnya pelajar tersebut menggunakan kata ganti nama diri kedua beliau supaya bersesuaian dengan pangkat atau taraf pendidikan yang dimiliki oleh Prof tersebut.

KANTOI

Situasi 33: Kesalahan ejaan dan penggunaan tatabahasa Melayu yang salah dalam lirik lagu mungkin masih dapat dimaafkan. Namun, jika sudah terang lagi bersuluh berlakunya penggunaan bahasa rojak yang melampau dalam sesebuah lirik lagu, mustahil kita sebagai orang Melayu yang prihatin tidak rasa tergugat atau mungkin sedikit kecewa. Hal ini boleh dilhat dalam lagu oleh Zee Avi yang bertajuk Kantoi. Perhatikan liriknya:

Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when I called Tommy he said it wasn't true

So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai... you, you tak ada
Lagi la I jadi gila

So I called and called sampai you answer
You kata sorry sayang tadi tak dengar
My phone was on silent, I was at the gym
Tapi latar belakang suara perempuan lain

Sudahlah sayang, I don't believe you
I've always known that your words were never true
Why am I with you?
I pun tak tahu
No wonder la my friends pun tak suka you

So I guess that's the end of our story
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last-last kita dapat tahu she was cheating too
With her ex boyfriend's best friend, Tommy...

video
lagu kantoi

Penerangan: Bahasa rojak yang digunakan dalam lirik ini sedikit sebanyak mungkin mencetus ketidakpuasan hati masyarakat yang prihatin terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu. Tambahan pula, diketahui bahawa media massa terutama bidang hiburan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi masyarakat.

BAHASA ROJAK MEMBUNUH

Situasi 32: Situasi kali ini agak tragis, walaupun hanya disaksikan dalam video yang dihasilkan oleh The One Academy. Dalam video ini, permulaan kisah adalah apabila seorang lelaki merempuh seorang perempuan hingga menyebabkan telefon bimbit perempuan tersebut terjatuh. Perempuan tersebut memarahi lelaki yang melanggarnya itu dan menyuruh lelaki tersebut meminta maaf dalam bahasa Inggeris. Lelaki itu menegaskan bahawa dia tidak faham apa yang dicakapkan oleh perempuan tersebut dan meminta perempuan itu bercakap dalam bahasa Melayu kerana mereka berada dalam negara Malaysia. Berlaku salah faham yang berpunca daripada kesukaran berkomunikasi hingga meragut nyawa lelaki tersebut.

Hal inilah yang mereka katakan sebagai bahasa rojak membunuh. Kesukaran memahami situasi kerana penggunaan bahasa rojak yang melampau boleh mengakibatkan kekeliruan dan hilangnya hormat terhadap satu sama lain.

video
bahasa rojak membunuh

KAMPUNG


Situasi 31: Kenangan sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke Universiti Pendidikan Sultan Idris ini, seminggu aku tidak dapat tidur nyenyak. Aku tahu masalah aku, ‘homesick’, atau dalam bahasa Melayu, rindu pada kampung halaman. Bukan perihal kenangan yang ingin dikongsi, tetapi penggunaan istilah homesick ini. Istilah ini sering diguna pakai kerana kita semua sudah dididik atau membesar dengan mendengar perkataan dalam bahasa Inggeris ini.

Ulasan: Penggunaan istilah homesick ini mungkin sudah diterima pakai dalam kehidupan seharian masyarakat, dan istilah ini dilihat lebih sinonim dengan masalah yang dihadapi iaitu rindu pada kampung halaman apabila tinggal berjauhan.

SALAHKAH BERBAHASA MELAYU?

Situasi 30:

Pelajar 1: Ah sudah! Mana pegi aku punya matrix card ni wei? Tadi ada je kat purse aku… adoi, naya la macam ni..

Pelajar 2: Cari la elok-elok, kot-kot jumpa.

Matrix card? Purse? Salah ke kalau pelajar tersebut menggunakan bahasa Melayu, atau seperti kata seorang artis terkenal,’ I’ll look silly when I speak in Malay’?. Rosak bahasa kita kalau semua fikir macam artis cantik ni fikir!

Penerangan: Pada pandangan peribadi saya, tidak salah kalau kita sebagai orang Melayu menggunakan bahasa kita sendiri apabila berkomunikasi, dan media massa juga turut memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, terutamanya artis Melayu yang dijadikan idola segelintir masyarakat.

SALINAN LEMBUT

Situasi 29: Kita sudah semestinya jarang menggunakan perkataan salinan lembut menggantikan soft copy atau salinan keras menggantikan hard copy. Namun, perkataan-perkataan ini sering disebut oleh pensyarah bahasa Melayu kami iaitu Dr. Adenan Ayob. Pada mulanya agak janggal bagi kami untuk menggunakan perkataan tersebut kerana sudan terbiasa dengan istilah bahasa Inggeris, namun setelah beberapa minggu mendengar pelbagai istilah bahasa Inggeris disebut dalam bahasa Melayu, kami tertarik walaupun bunyinya jarang didengari. Selain salinan lembut dan salinan keras, istilah lain yang disebut dalam bahasa Melayu ialah:

Hyperlink- hiper rangkai

Touch screen- skrin sentuh

Story board- papan cerita

Hypertext- teks dinamik

Terdapat beberapa istilah lain yang turut disebut dalam bahasa Melayu. Pada pandangan peribadi penulis, istilah-istilah yang disebut dalam bahasa Melayu ini boleh diamalkan supaya pelajar dapat mengenal istilah-istilah tersebut dalam sebutan bahasa Melayu.

OLEH MARK ZUCKERBERG…




Situasi 28: Oleh Mark Zuckerberg? Yelah… Facebook oleh Mark Zuckerberg, yang menjadi fenomena dalam alam siber sejak akhir-akhir ini. Jangan salah sangka, bukan cerita mengenai Mark Zuckerberg yang ingin dikongsi di sini, tetapi kesalahan-kesalahan bahasa yang dapat dilihat sekiranya kita menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa latar laman sosial ini. Antaranya:

· Anda berada di luar talian sekarang. Sila masuklah ke dalam talian untuk bersembang dengan rakan anda.

· Kawal maklumat asas yang boleh digunakan oleh rakan-rakan anda untuk menjejak anda di Facebook

· Kebenaran untuk meninggalkan komen di kiriman anda

· Hantar makluman kepada telefon anda melalui SMS.

Kesalahan-kesalahan ini dapat dilihat dalam laman sosial Facebook sekiranya kita meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa latar.




HMM,,,WANGI..

Situasi 27:

Aku: Assalamualaikum, saya ada jual perfume… nak tengok tester tak?

Ini cerita aku. Selain belajar, aku juga ada membuat kerja sampingan, jual minyak wangi kepada pelajar-pelajar di kolej Harun Aminurrashid ini (cari duit lebih). Situasi yang ingin ditunjukkan di sini bukan sahaja aku menggunakan bahasa rojak apabila meniaga, malahan penerimaan pelanggan setiap kali aku mengetuk pintu rumah mereka. Biasalah, sikap manusia, bukan semuanya sama dan baik belaka. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Ada yang melayan aku dengan baik, menolak dengan baik sekiranya mereka tidak berminat untuk membeli, namun ada juga yang langsung tak pandang aku, salam pun tak tahu dijawab atau tidak, muka masam mencuka, sepatutnya aku yang buat muka, sebab penat pergi rumah ke rumah, tapi macam biasa, pengguna sentiasa betul!

Penerangan: Walaupun kita tidak suka atau malas hendak melayan seseorang individu terutama peniaga (khususnya peniaga jualan langsung), cubalah untuk menggunakan bahasa yang lembut dan tidak mengguris hati orang lain. Bahasa budaya kita, gunakanlah bahasa selembut sutera.

BAHASA MELAYU TINGGI







Situasi 26: Dalam kelas Karya Agung, kami dikehendaki membuat pembentangan tajuk yang diberikan menggunakan bahasa Melayu tinggi. Pensyarah kami tidak mahu ada sedikit pun kesalahan bahasa termasuk sebutan sewaktu pembentangan. Walaupun kami pelajar bahasa Melayu, namun masih terdapat kesalahan yang dilakukan tanpa disedari, hingga perlu dibetulkan berkali-kali oleh pensyarah kami. Antara sebutan yang sering diperbetulkan ialah: ni, nak, okey dan sebagainya. Kami beruntung kerana pensyarah kami menekankan aspek bahasa Melayu tinggi ini, pasti ada gunanya apabila kami sudah bergelar guru suatu masa nanti. Pada kesempatan ini, ribuan terima kasih diucapkan kepada Prof. Abdullah Hassan, kerana menyedarkan kami tentang pentingnya penguasaan bahasa Melayu tinggi.

HARI-HARI ROJAK…!!


Situasi 25:

Naza: Che, malam ni kita ada discussion aplikasi tau… pukul 9, kat bilik akademik..

Che: Orait… insyaallah, kul 8 che datang… hehe…

Malam itu…

Che: Aduhai, tension la naza.. time-time macam ni la che punya mouse nak rosak. Che tak biasa guna touch pad ni, naza ada mouse lebih tak?

Penerangan: Sedar atau tidak, sebenarnya hari-hari kita sendiri yang menggunakan bahasa rojak ini. Pelbagai bahasa dirojakkan ke dalam bahasa Melayu (sebagai penyedap rasa*mungkin-hanya pandanganku).

Situasi seperti ini sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian kita. Perkara tersebut menjadi masalah bagi kita untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri.

PINJANG KALANG JAP!

Situasi 24: Dalam perpustakaan, aku memasang telinga mendengar dialog antara dua sahabat yang sedang mengulang kaji pelajaran di hadapanku.

Sahabat 1: Mira, pinjang kalang jap!

Sahabat 2: Apa dia? Ko cakap apa ni… aku tak faham… cakap bahasa Melayu, ok..

Sahabat 1: Eh, maaf-maaf. Tersasul pulak, bagi ko punya pensil.. aku nak pinjam jap…

Aku tergelak sendiri mendengar perbualan mereka, seorang orang Terengganu dan seorang lagi bukan dari Pantai Timur. Susah juga mahu berkomunikasi kalau begitu kan!

Penduduk di Terengganu merujuk kalang atau kalam sebagai pensil.

PENGETIP ATAU PENGEPIT?

Situasi 23: Kali ini, situasi ini berlaku dalam bilikku. Aku meminta teman sebilikku untuk mengambilkan pengepit kuku. Dialog antara kami:

Aku: Muna, tolong ambikkan Kak Che punya pengepit…

Muna: Pengepit? Mana kak? Takde pun…

Aku: Tu haa, depan mata kamu… takkan tak nampak, main-mainkan akak ek…

Muna: laa.. pengetip kuku laa kak… huhu..

Em.. pengetip ke?? Entahlah… yang penting, bendanya sama dan fungsinya pun sama, untuk memotong kuku kita.(,”)



CUTI!!!

Situasi 22: Setiap kali cuti pertengahan semester, pelajar-pelajar dari Pantai Timur akan tertarik untuk melihat iklan-iklan yang ditampalkan yang menawarkan tiket dengan harga-harga berpatutan. Salah satu iklan menarik perhatianku, hal ini kerana dalam iklan tersebut turut terdapat kecelaruan bahasa, pencampuran bahasa lain dalam bahasa Melayu iaitu bahasa rojak. Kesalahan tersebut ialah dalam perkataan:

CUTI MID SEM

Perkataan cuti merupakan perkataan bahasa Melayu manakala yang menjadi kesalahan ialah penggunaan bahasa Inggeris selepasnya iaitu mid sem atau dalam bahasa Melayu bermaksud pertengahan semester. Kesalahan tersebut berlaku mungkin kerana perkataan mid sem sentiasa disebut oleh pelajar dan bukannya pertengahan semester.


SALAH LAGI…

Situasi 21: Situasi ini sering kali berlaku dan kali ini kesalahan bahasa yang berlaku ialah ejaan paip dieja sebagai pipe, semua perkataan lain dieja dalam bahasa Melayu yang betul, tetapi ejaan paip sahaja yang menggunakan bahasa Inggeris. Jelas di sini bahawa masih terdapat kecelaruan dalam penggunaan bahasa yang betul dalam papan iklan. Kecelaruan di sini jelas menunjukkan pencampuran bahasa lain dalam bahasa Melayu atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak.

BAISIKEL???


Situasi 20: Situasi ini agak mencuit hati kerana kesalahan ejaan bahasa Melayu yang dilakukan oleh masyarakat kita kelihatan sedikit melampau. Hal ini kerana, ejaan basikal menjadi baisikel, (dieja mengikut sebutan dalam bahasa Inggeris). Keadaan ini dikatakan melampau kerana ejaan baisikel tidak pernah wujud dalam bahasa Melayu. Pada pandanganku, hal ini berlaku kerana pengaruh bahasa Inggeris yang turut menguasai cara sebutan sebenar sesuatu ejaan dalam bahasa Melayu. Sesetengah masyarakat yang tidak prihatin terhadap masalah yang berlaku dalam bahasa Melayu akan sewenang-wenangnya mengeja sesuatu perkataan mengikut cara sebutan yang sudah mereka sejak kecil lagi.

DIGUNA PAKAI

Situasi 19: Perkataan diguna pakai sememangnya diketahui perlu dijarakkan dan mempunyai dua perkataan. Namun, dalam salah satu pembentangan dalam kelas Sosiolingiustik, sebuah kumpulan telah melakukan kesilapan dengan mengeja perkataan tersebut menjadi satu perkataan sahaja iaitu digunapakai. Perkara ini telah mendapat teguran daripada pensyarah kami dan turut menjadi pengajaran kepada semua pelajar dalam kelas tersebut supaya lebih peka akan ejaan-ejaan yang betul dalam bahasa Melayu.

PERIBAHASA

Situasi 18: Situasi kali ini juga melibatkan video daripada laman youtube. Dalam video ini, dua orang pelajar kelihatan sedang melakonkan watak sebagai seorang anak dan juga ibu. Dalam dialog mereka, si ibu ada menyelitkan sebuah peribahasa dan ditanya maksudnya oleh anak tersebut. Peribahasa tersebut ialah:

Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga

Maksud perdu juga ditanya oleh anaknya, dan ibunya mengatakan perdu bermaksud pangkal pokok. Maksud peribahasa ini pula ialah kasih kepada anak sendiri tidak sama dengan kasih kepada anak orang lain. Video ini menerangkan kepada penonton maksud peribahasa tersebut dan sememangnya ada kaitan dengan masyarakat kita yang bersopan apabila bercakap dan ini menunjukkan budaya orang Melayu.

video
sketsa peribahasa daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga

AYUH SEMUA BELAJAR BAHASA

Situasi 17: Dalam mempelajari bahasa, pelbagai kreativiti boleh digunakan bagi menggalakkan pelajar mempelajari bahasa dan menarik minat mereka. Dalam youtube, terdapat sebuah video yang menggunakan daya kreatif seni muzik moden iaitu hip-hop untuk mengajar salah satu golongan kata dalam bahasa Melayu iaitu Kata Ganda.

video

Kaedah ini sememangnya dapat menarik minat pelajar kerana diketahui bahawa pelajar sekarang lebih meminati bidang hiburan, dan tidak salah sekiranya kita menggunakan minat mereka itu untuk membantu mereka mempelajari sesuatu, terutamanya bahasa. Antara contoh kata ganda yang dimuatkan dalam lirik lagu Kata Ganda versi hip-hop ini ialah:

Agar-agar

Anai-anai

Ampai-ampai

Anting-anting

“NAMA SAJA ORANG MELAYU”

Situasi 16: Kali ini aku terpanggil untuk menonton filem lama artis lagenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Terdapat satu babak dalam cerita Seniman Bujang Lapok yang menegaskan mengenai bahasa yang menunjukkan siapa kita (bahasa menunjukkan bangsa). Perhatikan dialog ini:

"Nama saja orang Melayu, sikit adab pun tak tau. Panggil orang hoi, hoi, hoi. Saya ni apa? Kayu kah? batu kah?" (dialog pengawal keselamatan berbangsa Benggali)
"Alamak, Benggali tu bahasakan kita lah,". (Sudin)
"Memang betul apa yang dia cakap, engkau tu mana ada bahasa, panggil orang hoi, hoi, hoi, bahasa menunjukkan bangsa tau ..." (Ramlee)
[Seniman Bujang Lapok]

Berdasarkan dialog di atas, kita dapat melihat betapa pentingnya bagi kita terutamanya orang Melayu untuk menjaga adab sopan dan etika ketika berbahasa. Dalam dialog ini, Sudin dikatakan tidak mempunyai bahasa kerana langsung tidak menghormati pengawal keselamatan di panggung tersebut kerana memanggilnya dengan panggilan ‘hoi’ sahaja. Bahasa yang kita gunakan menunjukkan bangsa kita, seperti yang dijelaskan dalam dialog oleh Tan Sri P. Ramlee.

video
bahasa melambangkan bangsa (seniman bujang lapok)

BERAMBAK!


Situasi 15: Ore sekapong tupa seko, berambak hari-hari,

nyo pakat likong, nyo pakat pekong, tupa tok leh lari

Perkataan berambak di atas menarik perhatian aku. Lirik lagu di atas dipetik daripada lagu Anak Tupai oleh Halim Yazid. Lagu ini telah diperdengarkan oleh pensyarah kami di dalam kelas Sosiolinguistik, dalam kuliah mengenai dialek. Berambak merujuk kepada mengejar atau kejar dan istilah ini digunakan oleh penutur natif di Kelantan dan juga Hulu Terengganu.


video
lagu anak tupai oleh Halim Yazid

PEMBENTANGAN


Situasi 14: Situasi kali ini berlaku di dalam kelas Sosiolonguistik sewaktu sebuah kumpulan sedang membuat pembentangan. Dalam pembentangan ini, terdapat beberapa kesalahan ejaan yang mungkin tidak disengajakan oleh kumpulan tersebut. Seperti dalam gambar di atas, dapat dilihat kesalahannya ialah penggunaan ejaan tidak ditulis sebagai tak. Sepatutnya, dalam pembentangan ilmiah khususnya, kesalahan penggunaan bahasa atau ejaan tidak sepatutnya berlaku.

KE LAGI…


Situasi 13: Terdapat beberapa lagi kesalahan penggunaan kata sendi nama ke. Kali ini boleh dilihat dalam buku Tatabahasa Dewan m/s 267. Kata sendi nama ke dikatakan tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang. Contoh ayat yang menunjukkan kesalahan ini ialah:

Berita itu hanya sampai ke pihak polis semalam.

Sepatutnya: Berita itu hanya sampai kepada pihak polis semalam.

Tolong berikan buku ini ke Mizam.

Sepatutnya: Tolong berikan buku ini kepada Mizam.

Contoh-contoh kesalahan penggunaan kata sendi nama ke ini boleh dirujuk melalui Tatabahasa Dewan edisi ketiga (m/s 267).

BETUL KE???


Situasi 12: Gambar di atas menunjukkan kesalahan penggunaan kata sendi nama ‘ke’. Menurut Tatabahasa Dewan, kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat arah yang dituju. Sepatutnya, pada papan tanda ini, penggunaan kata sendi nama di adalah lebih relevan, contohnya:

Pelawat dikehendaki melapor diri di pos pengawal

Kata sendi nama di lebih sesuai digunakan kerana kata sendi nama ini digunakan khusus di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat.

FASHION~~FESYEN…

Situasi 11: Kali ini aku sekali lagi mencari kaitan bahasa dan masyarakat dengan melayari internet. Nasibku baik, kutemu sebuah lagi video yang dirakam oleh orang yang sama, mengenai kesalahan penggunaan bahasa Melayu di papan iklan sebuah kedai. Dalam video ini, pelajar tersebut menunjukkan kesalahan bahasa yang terdapat pada papan iklan yang bertulis:

TUKANG JAHIT WAI MAN FASHION

Menurut pelajar ini, kesalahan yang terdapat dalam papan iklan tersebut ialah mencampurkan bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu, sepatutnya fashion itu ditukarkan kepada bahasa Melayu yang betul iaitu fesyen.

video
video yang menunjukkan penggunaan bahasa rojak

TULAH PENTINGNYA ENGLISH EDUCATION…


Situasi 10: “Cecite, cecite..” Ayat ini sekarang begitu popular dalam kalangan masyarakat kita. Semua ini penangan cerita komedi seram arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah, aku sendiri turut menggunakan perkataan tersebut, malahan sebelum dipopularkan oleh Mamat Khalid pun, warga Pantai Timur rasanya telah lama menggunakan perkataan tersebut. ‘Ce’ itu membawa maksud cuba dalam dialek Terengganu. Namun, yang ingin diceritakan di blog ini bukan situasi ‘cecite’, tetapi kehadiran bahasa rojak dalam komunikasi. Sudah tentu nampak jelasnya bahasa rojak ini dalam dialog yang dipopularkan oleh Usop (salah seorang watak utama dalam filem ini) iaitu:

“Itulah pentingnya English education..”

Dialog yang selalu disebutnya ini memang kelakar, dan nampak gahnya di situ apabila dia boleh menyebut dengan betul beberapa perkataa Inggeris iaitu‘wheel chair’ dan ‘key chain’. Perkara penggunaan bahasa rojak dalam dialog sesebuah cerita merupakan perkara biasa memandangkan fenomena pencemaran bahasa ini sudah lama menular dalam masyarakat kita, malahan dalam bahasa tulisan sendiri turut terdapat perkara seperti ini.

usop, antara watak utama (di atas wheel chairnya..)

ADUHAI BAHASAKU…


Situasi 9: Kemajuan teknologi sekarang memang membanggakan. Namun, turut merungsingkan apabila masyarakat menggunakan bahasa yang terlalu mudah, senang kata mereka. Ringkas dan padat (turut berlaku pada diri sendiri), oleh itu akan dimanipulasi di blog ini. Penggunaan sistem pesanan ringkas atau SMS misalnya, tidak ada lagi perkataan yang dieja dengan betul. Sebagai contoh,

U all nk mkn aper ari ni?

Bukan sahaja ejaan yang salah, malahan turut digunakan bahasa rojak (seperti contoh di atas: bahasa Inggeris dalam penggunaan bahasa Melayu). Dalam contoh di atas, nk merujuk kepada hendak, mkn pula makan, apa yang sepatutnya hanya 3 abjad ditambahkan menjadi aper, ari pula ialah hari dan ni merujuk kepada ini. Namun, secara logiknya, mungkin sukar untuk menaip di dalam telefon bimbit ayat seperti ini:

Kamu semua hendak makan apa hari ini?

Kelihatan terlalu formal jika hendak dibandingkan dengan contoh sebelum ini, namun bahasa tersebut harus kita gunakan. Hal inilah yang merungsingkan ahli bahasa kita sekarang, penggunaan bahasa yang terlalu ringkas hingga menyebabkan bahasa Melayu kian tercemar.

BILEK?

Situasi 8: Aku bersama rakan sekumpulan pergi ke Kalumpang untuk membuat penggambaran drama bagi tugasan kami. Setelah siap dan selesai semuanya, kami berangkat pulang. Sebelum keluar daripada pintu utama kawasan air terjun itu, aku tertarik pada tulisan yang terdapat pada dinding zink sebuah bilik persalinan. Bukan rekaan bilik itu yang menarik minatku, tetapi tulisan yang ditulis iaitu ejaan BILIK dieja BILEK. Terasa seperti berada di zaman sebelum merdeka, ketika ejaan masih belum diberi nafas baru. Aku meminta kawanku, Aini, untuk mengambil gambar bilik persalinan tersebut, sesuai dijadikan antara situasi bahasa yang terdapat dalam masyarakat, pada pandanganku.

gambar yang diambil oleh sahabatku di Kalumpang

.

PAK CIK…tumpang tanya…

Situasi 7: Aku sedang menunggu bas di hadapan kampus UPSI sewaktu kejadian ini berlaku. Ketika itu, aku berada di belakang seorang pensyarah yang bergelar Dr. Beliau kelihatan seperti sedang menunggu seseorag, kawannya barangkali. Walaupun aku bukan pelajar pensyarah tersebut, namun aku tahu dia seorang pensyarah kerana dia aku pernah terserempak dengan beliau di dewan kuliah di Proton City. Pakaiannya hari itu biasa sahaja, mungkin tidak ada kuliah pada hari tersebut. Tiba-tiba, aku terdengar seorang pelajar menyapanya..

Pelajar: Maaf, pakcik.. tumpang tanya, pak cik tahu ke macam mana nak naik bas ke Taman Bernam?

Pensyarah: Kamu naik aje bas yang ada labelnya Taman Bernam! Tahu baca kan…

Ringkas jawapannya, namun bagi aku terdengar juga bunyi sinis pada jawapan itu, mungkin silap pelajar itu juga, ingin menyapa, gunakanlah panggilan sepatutnya. Walaupun orang itu kelihatan selekeh, panggilan ‘encik’ mungkin lebih sesuai, sekiranya kita betul-betul tidak tahu akan pangkat seseorang itu.

Monday, March 14, 2011

TRADEN

persembahan dikir barat yang memartabatkan warisan seni dan budaya


pakaian yang selalu dipakai nenek moyang kita

Situasi 6: Hari ini, 13 Mac 2011, kolej kediaman UPSI iaitu Kolej Harun Aminurrashid telah mengadakan majlis penutup Gema Suara Pendikir. Aku tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikan persembahan daripada pendikir-pendikir yang hebat-hebat belaka termasuk mahasiswa dari UITM, juga dari UPSI sendiri. Peristiwa yang menarik perhatianku adalah ucapan daripada perasmi, yang berpakaian seperti zaman sebelum merdeka, berkemeja dengan baju pagoda putih, berkain pelekat berpetak besar-besar dan seluar. Beliau berkata, “Malam ini saya berpakaian ‘TRADEN’, iaitu tradisional dan moden..’.

Beliau turut menjelaskan sebab beliau berpakaian sedemikian. Katanya, untuk menunjukkan pakaian orang-orang atau nenek moyang kita dahulu apabila keluar mencari rezeki untuk anak-anak. Kata-katanya itu menyentuh hatiku, terbayang di ruang mata moyangku pergi ke sawah berpakaian demikian, dengan parang disisipkan di pinggang, kecuali malam itu beliau tidak membawa parang, risau dikatakan yang bukan-bukan. Walaupun mungkin tiada kaitan dengan bahasa, namun bagi ku, perkara ini berkait rapat dengan masyarakat, terutama masyarakat Melayu. Program ini diadakan bagi memartabatkan warisan seni dan budaya dikir barat, dengan penggunaan dialek Kelantan yang unik pada pandanganku.

Saturday, March 12, 2011

DANG!

Situasi 5: Kali ini, situasi ini turut berlaku dalam kelas sosiolinguistik. Terdapat sebuah kumpulan sedang membuat pembentangan tugasan mereka. Dalam pembentangan tersebut, seorang pelajar perempuan yang sedang memberi penerangan tersasul menyebut perkataan ‘dan’ menjadi ‘dang’. Aku membuat anggapan mungkin pelajar tersebut berasal daripada negeri Pantai Timur sama ada Terengganu ataupun Kelantan. Aku tidak pasti sama ada pelajar lain turut perasan akan situasi tersebut, tetapi oleh sebab aku juga berasal dari Pantai Timur, jadi aku cepat menangkap perkataan-perkataan yang sepatutnya disebut secara ‘standard’ atau bahasa baku.

Hal ini menunjukkan bahawa pengaruh dialek mempengaruhi pertuturan seseorang dan sukar diubah. Sebagai bakal guru Bahasa Melayu, kita wajar memperbaiki sebutan kita supaya pelajar dapat memahami perkara yang akan diajarkan. Tidak salah menggunakan dialek, tapi biarlah kena pada tempatnya.

KACAMATA


Situasi 4: Situasi ini berlaku ketika aku sedang melayari internet dan melihat video-video yang terdapat di dalam youtube. Terdapat beberapa video yang menarik perhatianku, yang semestinya berkaitan dengan penggunaan bahasa. Salah satu video tersebut merupakan projek Bahasa Melayu yang dibuat oleh seorang pelajar. Pelajar tersebut mencari kesalahan penggunaan bahasa yang terdapat pada papan tanda di kedai-kedai. Antara kesalahan yang dipaparkan di video tersebut ialah penggunaan perkataan ‘kacamata’. Ejaan kacamata dirapatkan sedangkan ejaan ini sepatutnya dijarakkan.

Perkataan kaca mata tidak boleh dirapatkan kerana perkataan ini bukan perkataan majmuk mantap. Terdapat hanya lima belas perkataan majmuk yang telah dimantapkan dan selain daripada itu, perkataan harus dijarakkan.

video
video yang menunjukkan kesalahan ejaan 'kaca mata'

JAMBAN???


Situasi 3: Situasi berlaku ketika aku berada di dalam kelas sosiolinguistik, bersama rakan sekelas mendengar kuliah oleh pensyarah kami. Sedang asyik mendengar penerangan pensyarah, ada suara yang berbual mengeluarkan perkataan ‘jamban’. Kami tergelak mendengar perkataan tersebut, termasuk pensyarah kami. Sebenarnya, pelajar yang berbual itu ingin merujuk pada ‘selipar jepun’ yang dikenali sebagai ‘selipar jamban’ dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya perkara yang dirujuk iaitu ‘selipar jepun’ itu dipanggil ‘selipar jamban’ dalam bahasa seharian, namun, menurut pensyarah kami, terdapat istilah eufemisme yang bermaksud melembutkan bahasa yang digunakan. Jadi, sekiranya kita ingin menyebut atau merujuk kepada ‘selipar jepun’ tersebut, lebih manis dan lembut jika disebut sebagai ‘selipar tandas’ menggantikan 'selipar jamban'.


video
tandas berkualiti, hidup berkualiti!..(,")