jatuh love

pemilik blog:

blog bakal guru Bahasa Melayu a.k.a. Cikgu Che

sahabat alam maya

Wednesday, March 16, 2011

ADUHAI BAHASAKU…


Situasi 9: Kemajuan teknologi sekarang memang membanggakan. Namun, turut merungsingkan apabila masyarakat menggunakan bahasa yang terlalu mudah, senang kata mereka. Ringkas dan padat (turut berlaku pada diri sendiri), oleh itu akan dimanipulasi di blog ini. Penggunaan sistem pesanan ringkas atau SMS misalnya, tidak ada lagi perkataan yang dieja dengan betul. Sebagai contoh,

U all nk mkn aper ari ni?

Bukan sahaja ejaan yang salah, malahan turut digunakan bahasa rojak (seperti contoh di atas: bahasa Inggeris dalam penggunaan bahasa Melayu). Dalam contoh di atas, nk merujuk kepada hendak, mkn pula makan, apa yang sepatutnya hanya 3 abjad ditambahkan menjadi aper, ari pula ialah hari dan ni merujuk kepada ini. Namun, secara logiknya, mungkin sukar untuk menaip di dalam telefon bimbit ayat seperti ini:

Kamu semua hendak makan apa hari ini?

Kelihatan terlalu formal jika hendak dibandingkan dengan contoh sebelum ini, namun bahasa tersebut harus kita gunakan. Hal inilah yang merungsingkan ahli bahasa kita sekarang, penggunaan bahasa yang terlalu ringkas hingga menyebabkan bahasa Melayu kian tercemar.

BILEK?

Situasi 8: Aku bersama rakan sekumpulan pergi ke Kalumpang untuk membuat penggambaran drama bagi tugasan kami. Setelah siap dan selesai semuanya, kami berangkat pulang. Sebelum keluar daripada pintu utama kawasan air terjun itu, aku tertarik pada tulisan yang terdapat pada dinding zink sebuah bilik persalinan. Bukan rekaan bilik itu yang menarik minatku, tetapi tulisan yang ditulis iaitu ejaan BILIK dieja BILEK. Terasa seperti berada di zaman sebelum merdeka, ketika ejaan masih belum diberi nafas baru. Aku meminta kawanku, Aini, untuk mengambil gambar bilik persalinan tersebut, sesuai dijadikan antara situasi bahasa yang terdapat dalam masyarakat, pada pandanganku.

gambar yang diambil oleh sahabatku di Kalumpang

.

PAK CIK…tumpang tanya…

Situasi 7: Aku sedang menunggu bas di hadapan kampus UPSI sewaktu kejadian ini berlaku. Ketika itu, aku berada di belakang seorang pensyarah yang bergelar Dr. Beliau kelihatan seperti sedang menunggu seseorag, kawannya barangkali. Walaupun aku bukan pelajar pensyarah tersebut, namun aku tahu dia seorang pensyarah kerana dia aku pernah terserempak dengan beliau di dewan kuliah di Proton City. Pakaiannya hari itu biasa sahaja, mungkin tidak ada kuliah pada hari tersebut. Tiba-tiba, aku terdengar seorang pelajar menyapanya..

Pelajar: Maaf, pakcik.. tumpang tanya, pak cik tahu ke macam mana nak naik bas ke Taman Bernam?

Pensyarah: Kamu naik aje bas yang ada labelnya Taman Bernam! Tahu baca kan…

Ringkas jawapannya, namun bagi aku terdengar juga bunyi sinis pada jawapan itu, mungkin silap pelajar itu juga, ingin menyapa, gunakanlah panggilan sepatutnya. Walaupun orang itu kelihatan selekeh, panggilan ‘encik’ mungkin lebih sesuai, sekiranya kita betul-betul tidak tahu akan pangkat seseorang itu.

Monday, March 14, 2011

TRADEN

persembahan dikir barat yang memartabatkan warisan seni dan budaya


pakaian yang selalu dipakai nenek moyang kita

Situasi 6: Hari ini, 13 Mac 2011, kolej kediaman UPSI iaitu Kolej Harun Aminurrashid telah mengadakan majlis penutup Gema Suara Pendikir. Aku tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikan persembahan daripada pendikir-pendikir yang hebat-hebat belaka termasuk mahasiswa dari UITM, juga dari UPSI sendiri. Peristiwa yang menarik perhatianku adalah ucapan daripada perasmi, yang berpakaian seperti zaman sebelum merdeka, berkemeja dengan baju pagoda putih, berkain pelekat berpetak besar-besar dan seluar. Beliau berkata, “Malam ini saya berpakaian ‘TRADEN’, iaitu tradisional dan moden..’.

Beliau turut menjelaskan sebab beliau berpakaian sedemikian. Katanya, untuk menunjukkan pakaian orang-orang atau nenek moyang kita dahulu apabila keluar mencari rezeki untuk anak-anak. Kata-katanya itu menyentuh hatiku, terbayang di ruang mata moyangku pergi ke sawah berpakaian demikian, dengan parang disisipkan di pinggang, kecuali malam itu beliau tidak membawa parang, risau dikatakan yang bukan-bukan. Walaupun mungkin tiada kaitan dengan bahasa, namun bagi ku, perkara ini berkait rapat dengan masyarakat, terutama masyarakat Melayu. Program ini diadakan bagi memartabatkan warisan seni dan budaya dikir barat, dengan penggunaan dialek Kelantan yang unik pada pandanganku.

Saturday, March 12, 2011

DANG!

Situasi 5: Kali ini, situasi ini turut berlaku dalam kelas sosiolinguistik. Terdapat sebuah kumpulan sedang membuat pembentangan tugasan mereka. Dalam pembentangan tersebut, seorang pelajar perempuan yang sedang memberi penerangan tersasul menyebut perkataan ‘dan’ menjadi ‘dang’. Aku membuat anggapan mungkin pelajar tersebut berasal daripada negeri Pantai Timur sama ada Terengganu ataupun Kelantan. Aku tidak pasti sama ada pelajar lain turut perasan akan situasi tersebut, tetapi oleh sebab aku juga berasal dari Pantai Timur, jadi aku cepat menangkap perkataan-perkataan yang sepatutnya disebut secara ‘standard’ atau bahasa baku.

Hal ini menunjukkan bahawa pengaruh dialek mempengaruhi pertuturan seseorang dan sukar diubah. Sebagai bakal guru Bahasa Melayu, kita wajar memperbaiki sebutan kita supaya pelajar dapat memahami perkara yang akan diajarkan. Tidak salah menggunakan dialek, tapi biarlah kena pada tempatnya.

KACAMATA


Situasi 4: Situasi ini berlaku ketika aku sedang melayari internet dan melihat video-video yang terdapat di dalam youtube. Terdapat beberapa video yang menarik perhatianku, yang semestinya berkaitan dengan penggunaan bahasa. Salah satu video tersebut merupakan projek Bahasa Melayu yang dibuat oleh seorang pelajar. Pelajar tersebut mencari kesalahan penggunaan bahasa yang terdapat pada papan tanda di kedai-kedai. Antara kesalahan yang dipaparkan di video tersebut ialah penggunaan perkataan ‘kacamata’. Ejaan kacamata dirapatkan sedangkan ejaan ini sepatutnya dijarakkan.

Perkataan kaca mata tidak boleh dirapatkan kerana perkataan ini bukan perkataan majmuk mantap. Terdapat hanya lima belas perkataan majmuk yang telah dimantapkan dan selain daripada itu, perkataan harus dijarakkan.

video yang menunjukkan kesalahan ejaan 'kaca mata'

JAMBAN???


Situasi 3: Situasi berlaku ketika aku berada di dalam kelas sosiolinguistik, bersama rakan sekelas mendengar kuliah oleh pensyarah kami. Sedang asyik mendengar penerangan pensyarah, ada suara yang berbual mengeluarkan perkataan ‘jamban’. Kami tergelak mendengar perkataan tersebut, termasuk pensyarah kami. Sebenarnya, pelajar yang berbual itu ingin merujuk pada ‘selipar jepun’ yang dikenali sebagai ‘selipar jamban’ dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya perkara yang dirujuk iaitu ‘selipar jepun’ itu dipanggil ‘selipar jamban’ dalam bahasa seharian, namun, menurut pensyarah kami, terdapat istilah eufemisme yang bermaksud melembutkan bahasa yang digunakan. Jadi, sekiranya kita ingin menyebut atau merujuk kepada ‘selipar jepun’ tersebut, lebih manis dan lembut jika disebut sebagai ‘selipar tandas’ menggantikan 'selipar jamban'.


tandas berkualiti, hidup berkualiti!..(,")